Apa khabar?

Apa khabar semua? Semoga semua terus sihat walafiat. Selamat menjawab soalan UPSR.

Kami sudah berpindah Blog


Hai kawan-kawan. Terima kasih atas sokongan dan kunjungan kawan-kawan di blog PTS ONE ini. Tanpa kawan-kawan, siapalah kami. Bagi menghargai pembaca, PTS ONE merancang sesuatu yang lebih besar untuk semua. Sebagai permulaan, kami memindahkan blog ini ke http://ptsone.com.my/

Segala berita terikini akan disiarkan di sana. Jumpa di sana!

.

Fantasi@PTS One

Assalamualaikum, hai kawan-kawan!

Berbeza bukan wajah blog PTS One kali ini? Ada seperti memasuki alam lain tak? Hehehe... jangan bimbang. Ini masih blog PTS One, hanya kami tukar tema blog ini sempena bulan Jun yang kami namakan, Bulan Fantasi. Bulan Fantasi ini bertujuan menyemarakkan lagi minat membaca kawan-kawan pada genre fantasi. Selalunya baca novel cinta ataupun novel bergenre biasa sahaja bukan? Kali ini, apa kata kawan-kawan ubah selera dengan membaca buku bergenre fantasi pula. PTS One sudah menerbitkan beberapa buah buku bergenre fantasi. Ha... di bawah ini ada beberapa contoh buku genre fantasi yang sudah kami terbitkan:


Kawan-kawan pernah membaca buku-buku di atas? Ataupun pernah membaca buku-buku lain terbitan PTS One yang bercorak fantasi? Oh... ada juga yang kata tidak pernah ya? Kepada yang pernah membaca dan memiliki buku-buku fantasi PTS One, kami mengucapkan syabas dan tahniah! Kepada yang masih belum membaca ataupun milikinya sebagai koleksi peribadi, kami galakkan kawan-kawan untuk mula dari sekarang! Mengapa? Kerana sempena Bulan Fantasi ini, kami akan mengadakan pertandingan. Apa kaitan pertandingan Bulan Fantasi ini dengan membaca dan memiliki buku-buku fantasi PTS One? Ha... ini kaitannya.

Pertandingan Fantasi@PTS One

Kawan-kawan diminta menulis review mana-mana buku fantasi PTS One dengan gaya penulisan yang paling menarik dan kreatif. Kawan-kawan juga boleh sertakan cadangan ataupun komen berkenaan genre tersebut. Mahu tulis pengalaman selepas membaca karya itu juga boleh. Tulislah apa-apa sahaja, yang penting ada review berkenaan buku fantasi PTS One. Perkara lain yang mahu kawan-kawan tulis akan menjadi bonus.

Tulis di mana?
Senang sahaja. Kami yakin ramai kawan-kawan PTS One mempunyai blog. Kami mahu kawan-kawan poskan entri review buku fantasi PTS One di blog kawan-kawan, dan memberikan kami linknya pada komen di bawah ini. Kami akan membaca dan menilai penyertaan kawan-kawan terus di blog kawan-kawan. Wah, belum apa-apa, kami sudah rasa seronok kerana kami akan membuat lawatan ke blog-blog meminat PTS One. Em... apa? Ada yang tidak ada blog tetapi berminat menyertai pertandingan ini? Jangan bimbang. Kawan-kawan yang tidak mempunyai blog, boleh mengemelkan review buku kawan-kawan ke ptsone@pts.com.my.

Apa hadiah pertandingan ini?
Lima peserta dengan review paling menarik dan kreatif akan mendapat:


Naskhah paling panas dari kilang, buku JIN: Jangan Ikut Nafsu karya Fatimah Az-Zahra. Buku ini belum ada di pasaran tau kawan-kawan. Kawan-kawan juga akan mendapat beberapa hadiah misteri yang eksklusif, contohnya VCD Hantu Silap Mata The Movie sumbangan ikhlas daripada cartoonrama.blogspot.com. Menarik bukan?

Kepada yang menyertai namun tidak terpilih sebagai antara lima entri terbaik, jangan bimbang. Kami sangat menghargai semua penyokong PTS One. Jadinya, kepada semua penyertaan, kami akan berikan hadiah sebagai penghargaan.

Tarikh tutup pertandingan:
Jam 11.59 malam, 30 Jun 2009.

Apa lagi, marilah menyertai pertandingan Fantasi@PTS One ini! (^_^)

Sejuta Penghargaan

Hai, assalamualaikum buat semua pengunjung blog PTS One!

Kami di PTS One dengan besar hati dan penuh rasa syukur, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengunjung yang masih setia memberikan sokongan kepada kami. Malah apabila melihat bilangan pengikut (follower) blog ini yang sudah mencecah lebih daripada angka 100, kami berasa begitu gembira dan teruja! Diharapkan kami dapat terus memberikan kawan-kawan bahan bacaan yang menarik, comel, berfaedah dan menghiburkan.

Terima kasih daripada kami sekali lagi. Teruskan memberi sokongan kepada kami, kerana kawan-kawanlah semangat kami semua!

Mari ke Read Malaysia!

Hai kawan-kawan!

Bermula esok, 29 Mei 2009 hingga 7 Jun, akan berlangsung satu lagi pesta buku iaitu Read Malaysia, dan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd turut terlibat bagi menjayakan pesta buku ini. Pelbagai genre buku dalam pelbagai bahasa dapat kawan-kawan perolehi di sana. Ada penerbit buku bahasa Melayu, penerbit buku bahasa Inggeris dan penerbit buku bahasa Cina! Ha, tunggu apa lagi? Mari ke Read Malaysia!

Jam berapa?
11.00 pagi - 10.00 malam.

Di mana?
Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa, MINES Resort City, Kuala Lumpur.

Mahukan diskaun istimewa?
Muat turun dan cetak kupon diskaun di sini.

Sebarang kemas kini dan berita sepanjang pesta buku Read Malaysia pula, kawan-kawan bolehlah layari ke sini.

Jangan lupa bertemu dengan penulis-penulis kesayangan kawan-kawan!
Jumpa di sana!

Selasa (2 Jun 2009)
2.30 - 3.30 petang
Sesi bertemu peminat dan kuiz bersama Lily Haslina Nasir (Aku Bukan Superstar)


Selasa (2 Jun 2009)
4.00 - 6.30 petang
Sesi bertemu peminat dan kuiz bersama Alif Firdaus Azis (Alan Alone), Natasya Effyzal (Tempat Kedua?) dan Aizam Aiman (Sayalah Puteri Raja!)

PERHATIAN:

Sesi berjumpa Farihah Iskandar bagi mempromosikan Hai Suria! telah dibatalkan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Pihak kami memohon maaf atas kesulitan ini. Namun pada peminat Kak Farihah yang hendak ke sana, jangan bimbang kerana Kak Farihah selalu ada di booth Read Malaysia. Hanya perlu bertanyakan kepada staf bertugas, yang mana satu Kak Farihah. Harap maklum. Terima kasih.




Semoga Berjaya!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog PTS One!

Apa khabar? Lama kita tidak bertegur sapa. Bagaimana dengan sambutan hari guru yang lalu? Dengar cerita daripada kawan-kawan yang lain, sambutan hari guru terpaksa ditunda sehingga habisnya peperiksaan pertengahan tahun kawan-kawan. Betulkah?

Sekiranya begitu, kami di PTS One hendak mengucapkan semoga berjaya kepada semua yang menghadapi peperiksaan! Belajar rajin-rajin ya? Jangan lupa berdoa kepada Tuhan, semoga usaha kawan-kawan akan membuahkan hasil.

Bagi sesetengah pelajar, peperiksaan pertengahan tahun tidak sepenting peperiksaan akhir tahun, mahupun peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM. Namun sebenarnya, setiap peperiksaan mahupun ujian yang direncanakan pihak sekolah adalah penting, demi memastikan kawan-kawan mengingati dan memahami setiap peringkat pembelajaran yang sudah kawan-kawan hadapi.

Akhir kata, kongsi-kongsilah dengan kami pengalaman kawan-kawan sepanjang minggu peperiksaan ini! Sekiranya ada antara kawan-kawan yang menghadapi masalah dalam mengulang kaji pelajar, tinggalkanlah komen di bawah, kami di PTS One dan rakan yang lain akan cuba membantu. Insya-Allah.... Kita ini bersatu, bukan? Kerana itu kita One. Hehehe...

Jaga diri baik-baik ya? Semoga kawan-kawan sihat selalu. Sampai berjumpa lagi!

Oh sebelum kami terlupa, memandangkan sambutan hari guru kawan-kawan kebanyakannya sudah ditunda, kawan-kawan masih belum terlambat membeli hadiah hari guru untuk guru tersayang. Apa lagi? Belilah buku hadiah Untuk Cikgu Terbaik di atas muka bumi Tuhan!


Video cara menggunakan buku HADIAH UNTUK CIKGU

Hai! Hari guru semakin hampir. Di sini kami mahu cadangkan satu hadiah yang paling praktikal, murah dan eksklusif kepada kawan-kawan. Bukan hanya pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja yang boleh menggunakannya. Pelajar univeristi juga sesuai menggunakannya. Bagi lebih jelas lagi, tontonlah video di bawah ini: